Monday, November 30, 2009

Berdoa untuk kehancuran?


Salam SriKandi dan Salam 1 Malaysia untuk semua.

Nampaknya Nik Aziz tak henti-henti nak timbulkan kontroversi. Dalam suasana umat Islam sedang menyambut kedatangan Aidil Adha, Nik Aziz berdoa agar masa depan UMNO dan pemimpinnya hancur.

Dalam ertikata lain individu yang digelar Tok Guru ini mengharapkan serta mendoakan agar orang Melayu dan wadah perjuangan orang Melayu di negara ini HANCUR!

Pernah terbaca tentang Sirah Nabawiyah, ketika Rasullullah amat dan sangat marah kepada orang Jahiliah di mana setiap solat Isyak baginda berqunud memohon dari Allah kehancuran kepada orang Jahiliah sehinggakan Allah SWT berfirman bahawa memasukkan orang ke neraka dan menghancurkan sesuatu kaum itu adalah urusan Ku.Dari kisah ini dapat kita lihat bahawa Allah SWT sendiri melarang mana-mana umat Islam dari berdoa untuk menghancurkan sesiapa termasuklah orang kafir walaupun doa itu datangnya dari Rasullullah sendiri.

Kini Nik Aziz yang bukan nabi, yang bukan maksum hendak berdoa untuk kehancuran orang yang mengucap dua kalimah shahadah dan organisasi yang memperjuangkan Islam.

Sebenarnya Pemimpin dan pengikut PAS ini sudah keterlaluan. Buat perkara -perkara bidaah dan keterlaluan seperti Baiah ceraikan isteri, membaca qunud pada waktu subuh menghentam pemimpin UMNO dan BN (berlaku di DUN Bagan Pinang sewaktu subuh hari penamaan calon). Semuanya di labelkan sebagai membawa perjuangan Islam.

Islam itu mudah dan suci dari membawa ke arah kehancuran. Mengapa PAS serta pemimpinnya menggunakan agama demi untuk kepentingan mereka.?Mengapa mereka mahu orang Islam yang tidak mengikut mereka hancur?Fikir-fikirkan lah


Akhir kalam Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua....dimana sahaja anda berada.

Friday, November 27, 2009

Usaha untuk hilangkan rasa cinta kepada Negara

Salam SriKandi dan Salam 1 Malaysia untuk semua..

Semalam Exco Kerajaan Negeri Selangor Halimah Ali mengharamkan semua pelajar IPT yang dipunyai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan semua kakitangan Kerajaan Negeri untuk menghadiri kursus yan dianjurkan di kem Biro TataNegara(BTN). Kata beliau BTN menyebarkan fahaman perkauman serta menjadi alat penyebaran propaganda Kerajaan BN. Beliau turut berkata mesej kursus BTN tidak sesuai dengan kelangsungan masyarakat majmuk dan membazirkan wang rakyat.

Tidak pasti sama ada Halimah Ali ini pernah mengikuti kursus BTN atau sebaliknya. Tetapi sejak tertubuhnya Unit Penyelidikan Belia (kini dikenali sebagai BTN) ,BTN telah berperanan menyampaikan fakta serta menyemaikan semangat cintakan negara. Apa yang disampaikan adalah dalam kursus adalah fakta. Apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia adalah fakta. Semua statistik yang dgunakan dalam ceramah dan perbincangan adalah berdasarkan fakta. Dari kursus asas hinggalah ke kursus kenegaraan semuanya dihidangkan dengan fakta agar peserta dapat berfikir dengan waras dan rasional tentang pencapaian negara ,pencapaian kaum-kaum yang duduk di dalamnya dan membangkitkan rasa dan azam untuk memajukan lagi apa yang telah ada.

Halimah dalam mengeluarkan larangan tersebut merujuk kepada kata-kata anaknya tentang kursus BTN.Kenapa tak sertai terus kursus BTN? barulah tahu secara faktanya apa yang berlaku. Anak dia mungkin "spoil brat". Jadi bila ditanya macam-macam yang negatif keluar. Ataupun sebagai SPY yang telah dipasak dengan idea-idea pembangkang. Apapun Halimah cuba mencari cara agar warganegara di negara ini dinafikan dari menerima maklumat dan berfikir.

Sebenarnya dari maklumat yang diterima dari kursus ini memberi ransangan kepada peserta untuk mula berfikir tentang negara. Secara tak langsung suatu budaya berfikir tentang hal ehwal negara dapat disemai dan dari situ titik permulaan rasa cintakan negara bermula.

Tapi mungkin itu yang ditakuti oleh Halimah. Halimah takut orang mula berfikir dan ambil tahu tentang negara atas dasar fakta dan kesedaran. Bukan dengan janji manis dan bukan dengan perasaan benci yang disemaikan oleh pembangkang dalam minda rakyat.

Halimah tak mahu rakyat berfikir tentang Islam adalah Agama Persekutuan,Halimah tak mahu rakyat berfikir tentang Kedaulatan Raja-Raja, tentang keistimewaan orang Melayu tentang bahasa Melayu yang semuanya ada dalam Perlembagaan bumi yang bertuah ini. Apabila orang ambil tahu dan menghayatinya orang tak mudah layu dan percaya dengan dakyah pembangkang. ITU yang Halimah tak mahu!

Larangan itu adalah suatu dosa besar Halimah kepada rakyat negara ini!

Akhir kalam Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua... di mana sahaja anda berada


Monday, November 16, 2009

Tawanlah minda mereka...hati dan jiwa mereka akan turut bersama mu

Salam SriKandi dan Salam 1 Malaysia buat semua.....

Persepsi umum terhadap golongan belia dewasa ini lumrahnya cenderung ke arah yang negatif.Apabila masyarakat berdepan dengan masalah atau gejala sosial, ada sahaja jari-jari yang cepat menuding ke arah golongan ini sebagai punca kepada permasalaan yang timbul.

Gejala rempit, seks bebas, dadah,penggunaan alkohol dan sebagainya hampir semuanya dikaitkan dengan golongan ini. Di satu tahap yang lain golongan ini juga dianggap sebagai golongan yang "anti establishment", "rebellious" dan banyak lagi.Namun pada masa yang sama generasi XYZ ini juga dilihat sebagai golongan yang berpotensi untuk membawa perubahan.

Pada suatu sudut boleh dikatakan generasi XYZ ini sebenarnya mempunyai jiwa,cita-cita serta keinginan mereka tersendiri.

Sun Tze, pakar strategi perang China dahulu kala pernah menyatakan " Tawanlah minda mereka, hati dan jiwa mereka akan turut bersama.."Sesungguhnya Sun Tze telah memahami serta memahami lumrah serta tabiat manusia.Beliau yakin apabila kepercayaan manusia telah terbina, mereka akan menuruti apa yang disuruh dan dipinta.

Mungkin petua atau strategi Sun Tze ini boleh diaplikasikan dalam kaedah mendekati golongan ini. Ia mesti bermula dengan meletakkan persepsi yang betul dalam minda golongan ini. Galakan,sokongan serta bantuan seharusnya terus menerus diberikan dalam mereka menjalankan aktiviti yang mereka minati.Pandangan mereka dihormati dan kita harus turut terlibat dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan citarasa mereka.

Sekiranya ini dapat dilakukan, selepas ini laluan akan lebih mudah dalam memandu mereka ke arah yang positif dan ke arah mencapai matlamat yang kita ingin lihat golongan ini kecapi.

Keratan akhbar SINAR melepaskan Konvoi Belia DUN Ampangan

Maka jika kita mahukan mereka , Tawanlah minda mereka,hati dan jiwa mereka akan turut bersama kita.Mungkin pada masa itu tidak lagi kedengaran nada suara yang meminta 3T (topi,t-shirt dan tambang) sebelum menyertai mana-mana program yang dianjurkan.

Akhir kalam Salam Sri Kandi dan Salam 1 Malaysia kepada semua....walau di mana pun anda berada.....

Glosari:

G
enerasi X (gen-X) : golongan yang dilahirkan pada pertengahan tahun 60'an hingga ke
pertengahan 70'an.

Generasi Y (gen -Y): golongan yang dilahirkan pada pertengahan tahun 70'an hingga ke
pertengahan 80'an

Generasi Z (gen-Z) : golongan yang dilahirkan pada pertengahan tahun 80'an membawa ke
penghujung tahun 1999.

Gen XYZ adalah merangkumi umur golongan belia yang ada pada masa kini.




Monday, November 9, 2009

Mengapa Sang Isteri yang perlu jadi mangsa.......

Salam SriKandi dan Salam 1 Malaysia buat semua.

Tersentak serta terkejut mendengar pendedahan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman tentang calon pilihanraya PAS perlu membaca Bai'ah taat setia serta bertalkik talaq 3 terhadap isteri sekiranya wakil rakyat tersebut melompat parti.

Tatkala pandangan umum yang merasakan bahawa Bai'ah ini menganiayai sang isteri,beberapa ahli Dewan Muslimat PAS tampil mempertahankan amalan bai'ah tersebut. Ketua Dewan Muslimat PAS ,Nuridah Mohd Salleh mengatakan " Kami sangat setuju dengan amalan Bai'ah ini"....bagaimana mereka kasihkan isteri ,begitu juga mereka perlu kasihkan parti".

Beberapa persoalan timbul. Adakah PAS dilihat sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri, takut ahlinya atau pemimpinnya tidak lagi mempercayai perjuangan PAS? Adakah perjuangan parti hendak dikaitkan dengan hubungan kasih suami isteri? Adakah ini cara PAS mahu mengugut mereka yang tidak lagi mempercayai perjuangan PAS, JIKA LOMPAT PARTI, KELUARGA AKAN HANCUR!

Bukankah PAS berkata mereka perjuangkan Islam? Adakah Islam membenarkan ikatan suami isteri hancur semata-mata kerana peralihan atau pemikiran politik pemimpinnya?

Yang paling menyedihkan mengapa perlu sang isteri yang menjadi mangsa?

Kita selaku manusia yang dikurniakan aqal oleh Allah SWT perlu memikirkan perkara ini. Di satu pihak menyeru kepada perpaduan dan kebaikan serta kesejahteraan tapi di satu pihak lagi membawa kepada kehancuran dan kemusnahan.Dua sudut yang berbeza walaupun keduanya melaung untuk mempertahankan agama ISLAM. Fikir-fikirkanlah!

Akhir kalam, salam SriKandi dan Salam 1 Malaysia untuk semua...di mana sahaja anda mungkin berada

Monday, November 2, 2009

Pentingnya Belajar Sejarah














Salam Sri Kandi dan Salam 1 Malaysia buat semua.................

Ketika membahaskan usul menyokong ucapan dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tempohari saya ada menyentuh tentang kepentingan agar mata pelajaran sejarah di jadikan mata pelajaran teras serta wajibkan dalam tempoh pembelajaran sekolah rendah dan seterusnya dijadikan sebagai mata pelajaran yang wajib lulus dalam dua peperiksaan utama iaitu diperingkat PMR , SPM mahupun STPM.

Mungkin ada yang berkata bahawa saya hanya memainkan nada yang lama , namun saya sesungguhnya percaya selagi perkara ini tidak di letakkan kepada tempat yang sepatutnya,ianya harus lantang diperkatakan supaya ia menjadi peringatan tentang kepentingan mempelajari sejarah.

Kata-kata Tun Dr Mahathir saya jadikan panduan. Kata beliau " sesuatu bangsa yang tidak mempelajari sejarah akan didera dengan melakukan kesalahan yang sama berulangkali" .Malah dalam sabda Rasullullah SAW , Baginda menegaskan" Umatku tidak akan terjatuh ke dalam lubang yang sama dua kali" Jelas , ini menunjukkan kepentingan bahawa sesuatu bangsa itu perlu belajar serta memahami sejarah bangsanya agar jangan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak di masa akan datang.

Kita semua berasa cukup selesa duduk dalam sebuah negara yang aman merdeka. Sekali merdeka tidak menjamin sesebuah negara itu akan terus merdeka. Akan ada anasir-anasir sama ada dari dalam dan luar yang akan cuba menganggu gugat keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi untuk kepentingan mereka. Dewasa ini, kita ihat orang sudah mula mempertikaikan kedudukan raja-raja, keistimewaan orang Melayu malah Agama Islam sebagai Agama Persekutuan sedangkan semua perkara ini telah sedia termaktub dalam Perlembagaan iaitu asas kepada pembinaan negara ini. Kepada yang mempertikaikan perkara-perkara ini, tahukah mereka tentang Kontrak Sosial? Tahukah mereka tentang Pakatan Murni? Semuanya adalah asas penting kepada pembentukan negara kita. Tanpa pengetahuan serta penghayatan ke atas perkara-perkara ini, mereka-mereka ini amat mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang mahu melemahkan ikatan perpaduan di negara ini.

Sebagai contoh, tidak lama dahulu ada suatu gerakan yang mahu menghidupkan idea komunisme di Malaysia sehingga mereka mahu mengagungkan pengganas-pengganas komunis selaku pejuang pembebasan Malaya. Demi untuk mencapai matlamat mereka ,mereka sanggup membina memorial dan telah cuba memutarbelitkan fakta sejarah bagi membolehkan pengkhianatan ditukarkan kepada heroisme. Sasaran mereka bukan kepada golongan berusia tetapi kepada golongan muda serta belia supaya golongan ini memikirkan bahawa komunis yang sebenarnya memperjuangkan pembebasan negara kita dari penjajahan.

Tidak lupa juga gerakan seorang pemimpin pembangkang yang kerap menipu rakyat dengan Gagasan 16 Septembernya. Mengapa 16 September? Kata beliau 16 September adalah sesuai dengan hari pembentukan Malaysia yang sesuai di raikan oleh semua kaum. Malah dia pergi lebih jauh agar 16 September harus menggantikan Hari Kebangsaan 31 Ogos. Agenda beliau mudah. 31 Ogos adalah tarikh kemerdekaan yang mana terlalu sinonim dengan perjuangan UMNO yang telah membebaskan negara dari belenggu penjajahan. Dengan memadamkan 31 Ogos dari minda golongan muda, golongan muda akan lupa dengan jasa UMNO mendapatkan kemerdekaan. Natijahnya, UMNO hanya diihat sebagai parti biasa oleh orang Melayu dan bukan sebagai parti keramat yang telah membebaskan negara ini dari cengkaman penjajahan.

Kerana itu biarlah orang mengata kenapa dimainkan bugih lamo, namun saya akan terus perjuangkan apa yang saya fikirkan betul dan wajar!

Akhir kalam, Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua... dimana jua anda berada.