Wednesday, May 21, 2008

SAYANGKAN PARTI BUKAN KERANA INDIVIDU....

Tindakan Tun Dr.Mahathir Mohamad keluar dari Parti UMNO bukanlah satu tindakan yang bijak, keputusan yang di ambil itu sudah pasti akan lebih mengeruhkan situasi yang ada. Seharusnya Tun seorang pemimpin yang disegani apatah lagi pemimpin hebat bertaraf dunia tidak seharusnya mengambil tindakan demikian. Beliau juga mengajak seramai mungkin orang UMNO untuk keluar dari parti ini dan masuk semula jika YAB Pak Lah meletakkan jawatan. Adakah ini dikatakan meyatukan bangsa melayu?

Adakah perjuangan hari ini kerana kita sayangkan pada individu tetapi bukan perjuangan kepada parti dan bangsa? Amat menyedihkan di waktu kepimpinan Tun, beliau meminta kita menghormati dan taat kepada pemimpin yang ada tetapi hari ini kenapa begini pula. Jika benar YAB Pak Lah melakukan kesilapan kenapa hingga Tun perlu keluar dari UMNO? Tidak ada manusia yang tidak buat silap. Bukankah penyelesaian yang terbaik didalam perjuangan adalah musyawarah iaitu perbincangan.

Selaku pemimpin muda hari ini tidak seharusnya merasa keliru untuk memilih mana yang benar. Kita harus bijak melihat dan menilai. Hari ini kita telah mengecapi segala keselesaan dan kenikmatan yang diberi hasil dari perjuangan UMNO. Jangan marahkan nyamuk kelambu nak dibakar. Marilah kita bersatu dalam memperkukuhkan bangsa melayu demi untuk mempastikan kekuasaan melayu terus gah di tanahair ini. Janganlah hingga suatu ketika nanti kubur kita akan dikencing oleh anak cucu kita akibat dari perpecahan bangsa apatah lagi mereka terpaksa merempat di tanahair sendiri. Kita berbalah sesama kita mereka yang diluar gelak ketawa menanti kita sebagai mangsanya. Apakah kita telah bersedia untuk hilang kuasa yang ada ???