Monday, December 7, 2009

Terperangkap dalam badan lelaki? Mana boleh!


Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua...

Menyorot kembali laporan akhbar terdapat sesuatu berita menarik yang mungkin kita dapat berkongsi pandangan.

Menurut akhbar, ini kisah " terperangkap cinta terlarang kerana nafsu" yang melibatkan seorang rakyat Malaysia dan rakyat Britain.

Menurut tulisan dalam Utusan Malaysia (6-12-2009) kisah bermula apabila seorang pemuda rakyat Britain bernama Ian Young berkenalan dengan seorang rakyat Malaysia Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada Ogos 2006. Terpegun dengan kejelitaan Fatine, Ian Young mula memikatnya. Mulalah bibit cinta dan kerana keserasian yang terbina Ian Young berhasrat untuk melamar Fatine. Masalahnya Fatine sebenarnya adalah MOHAMMAD FADZIL MIN BIN BAHARI iaitu seorang LELAKI. Walaupun dia telah mengambil hormon wanita sejak berumur 17 tahun lagi namun beliau tidak mahu melakukan pembedahan jantina kerana takut risiko.


Memandangkan Fatine secara hakikat dan statusnya di mata undang-undang adalah seorang LELAKI dan undang-undang di Malaysia tidak membenarkan perkahwinan sejenis, Ian Young telah membawa Fatine ke Britain dengan visa pelancong untuk berkahwin (ini kerana Britain membenarkan perkahwinan sejenis sejak 2005 lagi). Kini pasangan ini mempunyai masalah kerana Kerajaan Britain mahu menghantar Fatine pulang kerana telah tinggal di negara tersebut melampaui tempoh jangkamasa yang dibenarkan kepada pelancong.

Ramai pihak termasuk NGO yang liberal yang bersimpati terhadap nasib Fatine ini kerana katanya di Malaysia, tiada pengiktirafan di beri kepada golongan "Mak Nyah" seperti Fatine. Di mata undang-undang Fatine dilihat sebagai Lelaki Melayu yang beragama Islam. Sebagai Islam perkahwinan sejenis adalah haram. Apatah lagi "suami"nya masih menganut agama Kristian.

Pihak ini juga mengatakan bahawa hak golongan seperti Fatine ini sering diprejudiskan. Bagi mereka golongan seperti Fatine ini adalah kes "perempuan terperangkap dalam badan lelaki"

Adakah ini benar? atau semata-mata memandang atas luaran dan berhujah mengikut hati. Bagaimana mungkin " perempuan terperangkap dalam badan lelaki"?

Alah SWT dalam Surah At-Tin ayat 4-6 (bermaksud):"sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."

Tidak dinafikan juga ada manusia yang dilahirkan dengan mempunyai dua kelamin. Namun menurut ahli Fiqh insan itu boleh memilih untuk menjadi lelaki atau perempuan melihat kepada struktur anatomi dan kecenderungannya.

Namun kes seperti Fatine ini beliau dilahirkan sebagai seorang LELAKI dan atas kerelaannya sendiri mengambil hormon perempuan.Ramai golongan Mak Nyah juga dilahirkan sebagai LELAKI bukannya Khunsa tetapi kerana keinginan mereka terhadap lelaki atau kaum sejenis (homosexual) menjadikan mereka mahu berlagak seperti wanita!

Persoalannya adakah disebabkan nafsu yang tidak terkawal ini Malaysia perlu mengiktirafkan perkahwinan sejenis seperti kes Fatine ini? Dari sudut agama Islam pula, bolehkah rukun nikah seperti yang di peruntukkan dalam Al Quran diubah atas sebab nak memberi hak kepada golongan ini? MANA BOLEH!

Jangan ada pihak yang merujuk nilai sosio budaya negara lain ketika berhujah kononnya untuk membela hak dan nasib golongan ini kerana nilai budaya dan tatasusila mereka adalah berbeza.

Fikir-fikirkanlah!

Akhir kalam, salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua..di mana sahaja anda berada.



Wednesday, December 2, 2009

Program Penghayatan Ibadah Korban 2009

Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua..

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Maidah :118 mathumnya " Maka makanlah binatang-binatang yang halal,yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya"

Dalam Surah Al Khauthar : 2 , Allah SWT berfirman " Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah"

Sabda Rasullullah SAW " Barangsiapa yang menyembelih korban sebelum Solat Aidil Adha maka sesungguhnya ia menyembelih untuk dirinya dan barangsiapa yang menyembelih korban sesudah solat dan dua khutbah,sesungguhnya ia telah menyempurnakan ibadahnya dan telah menjalani aturan (sunat) orang Islam ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesemua di atas adalah nas tentang anjuran agama kita mengenai ibadah korban sebagai ibadah sunat serta pelengkap kepada ibadah solat Aidil Adha.

Apabila bercakap tentang Ibadah Korban, masyarakat kita dewasa ini lazimnya memikirkan berapa harga satu bahagian atau berapa harga seekor lembu atau kambing untuk dikorbankan. Apabila harganya telah dibayar dan niat diwakilkan kepada imam maka kita memikirkan bahawa ibadah tersebut telah selesai dilaksanakan. Kita sepatutnya bersyukur kerana masih ada insan yang berpengalaman yang dapat membantu kita menyempurnakan ibadah kita. Namun fikirkanlah apabila roda tanggungjawab tersebut berpusing kepada kita, adakah kita bersedia untuk memikul tanggungjawab ini? Dapatkah kita pula membantu generasi yang lebih muda untuk menyempurnakan ibadah korban ?

Atas kesedaran kepentingan Fardhu Kifayah ini , Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSNS) bersama Gerakan Belia 4B Kg Bahagia Jiboi , Ampangan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam N.Sembilan (JHEINS) telah menganjurkan Bengkel Penyembelihan sempena Program Penghayatan Ibadah Korban 2009. Program yang disertai oleh seramai 78 orang peserta ini telah dilaksanakan di Pusat Dakwah Islamiah di Paroi dan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Tuan Baharuddin Jali.


Melalui program dan bengkel ini peserta yang terdiri dari kalangan belia telah di dedahkan dengan anjuran Ibadah Korban dalam Islam serta teknik penyembelihan yang betul. Diakhir bengkel ini peserta diberi latihan praktikal kaedah menyembelih ayam yang betul dan juga telah diberikan Sijil Kursus Penyembelihan yang diiktiraf oleh JHEINS.



Bersama peserta menjalani praktikal penyembelihan ayam


Bergambar kenangan bersama peserta diakhir bengkel

Adalah harapan saya, juga pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan agar program seumpama ini dapat melengkapkan lagi diri serta ketaqwaan peserta / golongan belia kepada Allah SWT. Pesanan ayahanda masih jelas dalam ingatan " Apa yang menyebabkan sesuatu dinding konkrit itu kukuh? Adakah disebabkan simennya? Adakah disebabkan pasirnya atau disebabkan batunya? Jika tiada air yang melengkapkan, semuanya tiada akan berguna". Fikir-fikirkanlah.

Akhir kalam Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia buat semua...walau di mana jua anda berada..