Tuesday, September 29, 2009

Cubaan Baling Kasut di Sua Betong








Salam Sri Kandi dan Salam 1 Malaysia pada semua..

Rupa-rupanya kejadian baling kasut oleh wartawan Iraq kepada Presiden Bush beberapa tahun lalu seakan jadi penyakit berjangkit . Sekarang ini ia seolah -olah menjadi satu simbol bagi menunjukkan ketidakpuashatian terhadap pemimpin.

Beberapa hari lalu, kejadian yang sama hampir menimpa rombongan Datuk Seri Samy Vellu bersama beberapa pemimpin MIC lain yang turun di Sua Betong, Port Dickson bagi membanci pengundi kaum India di sana. Tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenarnya terjadi kemarahan salah seorang penduduk India di sana lantas dia mula mencabut kasut untuk dibaling kepada rombongan tersebut. Namun nasib baik ianya telah dihalang oleh penduduk lain yang cuba menenangkan penduduk yang sedang naik angin tersebut.

Melihat kepada perkembangan politik semasa, mungkin ramai dapat membuat telahan tentang penerimaan masyarakat kaum India terhadap MIC dewasa ini. Namun apa yang tidak dijangka perkara seperti membaling kasut nyaris berlaku. Dalam kehangatan Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang ini perkara ini sebagai suatu petanda yang tidak baik tentang penerimaan masyarakat India dan keterbukaan mereka untuk menyokong calon BN.Majoriti pengundi di Sua Betong pada PRU-12 yang lalu telah mengundi calon PAS dan BN kalah di peti undi tersebut.

Apakah MIC semakin tidak berdaya untuk meraih sokongan kaum India? Sekiranya telahan awal terhadap soalan ini adalah negatif, MIC perlu berbuat sesuatu......


Thursday, September 24, 2009

Bersediakah Bagan Pinang tanpa Tan Sri Mohd Isa?



Edisi Pilihanraya Kecil Bagan Pinang N31


Salam Sri Kandi dan Salam 1 Malaysia...

29-09-2009 ini Majlis Tertingi BN akan mengumumkan siapakah calon yang akan diletakkan untuk bertanding atas tiket BN di Dun Bagan Pinang pada 11-10-2009 ini

Berbagai kenyataan telah didengar tentang calon yang dianjurkan untuk bertanding di Bagan Pinang. Kepimpinan di Telok Kemang mencadangkan hanya satu nama iaitu Tan Sri Mohd Isa bin Hj Abd Samad, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang yang juga mantan Naib Presiden UMNO,mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dan mantan Menteri Wilayah Persekutuan.

Namun cadangan ini mendapat reaksi yang berbeza dari pelbagai pihak. Ayahanda Tun Dr Mahathir mengatakan jangan letak Tan Sri Mohd Isa kerana beliau pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang. Pak Dolah Kok Lanas (Datuk Abdullah Ahmad) pun ada menulis bahawa Bagan Pinang perlukan calon yang bersih dan yang masih muda yang mana dalam erti kata lain penulisan itu cenderung senada dengan pendapat Ayahanda Tun Dr Mahathir.

Waimma apapun, keputusan ini bakal diketahui pada 29-09-2009 kelak. Persoalannya sekiranya Tan Sri Mohd Isa tidak terpilih apakah Bagan Pinang bersedia tanpa beliau?

Sekiranya ini berlaku, tidak dapat dielakkan suatu reaksi penerimaan akan wujud. Perasaan kecewa atau emosi akan ada. Ini kerana pimpinan di Telok Kemang awal-awal lagi inginkan Tan Sri mohd Isa sebagai calon. Meletakkan calon yang lain oleh MT akan dilihat sebagai tidak menghiraukan pandangan akar umbi.

Sekiranya ini berlaku apakah Bagan Pinang dapat mengatasi perasaan kecewa dan emosi ini dan berkempen bersungguh-sungguh (at full force)?

Bagan Pinang adalah suatu kawasan DUN yang perlu dipertahankan. Sekiranya tewas, pembangkang akan mendapat kerusi mereka yang ke 17 dalam Dewan Undangan Negeri.Bermakna 3 kerusi lagi yang mereka perlukan untuk menyaingi BN di Dewan Undangan Negeri.Sesungguhnya perkara ini tidak boleh dibiarkan dan sewajibnya kerusi harus dikekalkan jadi milik BN.

Warga UMNO/BN Bagan Pinang harus melihat perkara ini sebagai suatu kewajipan untuk mempertahankan kerusi ini. Jangan ada yang terlalu dilanda kekecewaan hingga sanggup memangkah pembangkang atau membuat boikot untuk tidak keluar mengundi.Sikap sebegini harus dikikis dari setiap jiwa warga UMNO/BN, bukan hanya di Bagan Pinang tetapi di mana-mana jua pun.

Perlu dimaklumkan BN tewas tipis di Manik Urai kerana beberapa gelagat orang UMNO sendiri yang tidak mahu keluar mengundi kononnya sebagai protes terhadap calon. Walaupun yang buat kerenah ini sedikit tetapi sewaktu Pilihanraya setiap undi adalah amat bermakna.

Tan Sri Mohd Isa sememangnya patut dicontohi dan diteladani. Dari seorang Naib Presiden dan dari seorang Menteri Kabinet beliau dilucutkan semua jawatan parti dan jawatan kabinet.Hanya tinggal sebagai Wakil Parlimen sahaja. Namun beliau tidak kecewa, tidak putus asa dan beliau tetap berjuang bersama UMNO. Beliau tetap hadir berkempen dalam Pilihanraya.

Semangat Tan Sri Mohd Isa ini harus ada pada diri kita semua............


Tuesday, September 22, 2009

PENGUNDI MUDA HARUS DIBANTU MEMBUAT KEPUTUSAN



Edisi Pilihanraya Kecil Bagan Pinang N31


Salam Srikandi & Salam 1Malaysia untuk semua............

Setiap kali Pilihanraya Kecil (PRK) di adakan antara salah satu perkara yang mendapat perhatian adalah golongan pengundi muda di sesuatu kawasan Pilihanraya. Kecenderungan pilihan golongan pengundi muda ini acapkali dijadikan gambaran oleh parti-parti yang bertanding dalam Pilihanraya dalam mengukur kekuatan mereka berbanding dengan pihak lawan.

Golongan pengundi muda atau sering di kenali dengan jolokan pengundi saluran 4 dan 5 kian mendapat perhatian sejak Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu di mana golongan ini diakui berupaya membawa kepada keputusan pilihanraya yang tidak dijangkakan. Beberapa pemimpin besar BN tumbang semasa PRU 12 yang lalu kerana faktor pengundi muda ini.

11 Oktober kelak DUN Bagan Pinang akan melalui Pilihanraya Kecil (PRK) apabila wakil rakyatnya Allahyarham YB Azman Mohd Noor meninggal dunia 4 September yang lalu. Menurut pihak SPR senarai daftar pemilih setakat 31 Julai 2009 akan digunakan.

DUN Bagan Pinang adalah juga tidak terkecuali dari kesan keputusan golongan pengundi muda ini. Mengimbas semula demografi pengundi bagi DUN Bagan Pinang antara 2004 hingga 2008 dapat dilihat pertambahan pengundi dari 11,205 orang (tahun 2004) ke 14,192.(tahun 2008). Berlaku pertambahan pengundi baru seramai 2987 orang.Pada tahun 2004 keputusan pengundian adalah BN- 5967 manakala PAS -1566. Pada tahun 2008 pula BN- 6430 manakala PAS-4097.Kalau dipandang secara kasar PAS telah dapat manfaat dari pertambahan pengundi baru.Walaupun BN mendapat pertambahan undi tetapi margin majoriti kian berkurangan.

Sekiranya dilihat dalam konteks pengaruh pengundi muda,jelas menunjukkan bahawa kesan keputusan yang mampu dibuat oleh pengundi muda ini tidak boleh diperkecilkan atau diperlekehkan.

Suatu perkara yang menjadi persoalan adalah sama ada keputusan yang dibuat oleh golongan pengundi muda ini adalah keputusan yang betul? Persoalan ini diajukan kerana dapat dilihat dalam beberapa situasi keputusan golongan pengundi muda ini dibuat bukan atas dasar rasional tapi lebih atas dasar sentimen dan emosi.

Tidak dinafikan pengembangan pengaruh media alternatif seperti web, blog ,weblog,facebook dan sebagainya yang dapat menyebarkan maklumat sekelip mata dan tidak dinafikan pengaruh media alternative ini ke atas golongan pengundi muda. Di Negeri Sembilan sahaja blog yang cenderung kepada pembangkang berjumlah 100 lebih dan jumlah ini bertambah setiap hari dan blog yang pro kerajaan hanya ada 40 lebih sahaja. Justeru itu golongan pengundi muda sering terdedah dan mungkin terpengaruh kepada dakyah-dakyah sering dimainkan oleh blog pro pembangkang antaranya:-

  • Kerajaan UMNO/BN adalah Kerajaan yang korup dan rasuah dan mengamalkan kronisme
  • Pemimpin UMNO/BN tidak bersih dan diselaputi dengan berbagai skandal
  • Kerajaan UMNO/BN zalim dan tidak adil dan tidak memperdulikan rakyat

dan berbagai lagi tohmahan dan dakyah yang dilemparkan sehingga dengan sendirinya wujud persepsi negatif dalam minda golongan pengundi muda terhadap Kerajaan.

Apabila persepsi negatif sebegini mengabui minda apa sahaja keputusan yang dibuat akan menjadi berat sebelah serta dibuat atas sebab marah dan emosi dan bukannya atas kehendak sendiri atau atas fikiran yang rasional serta dengan minda yang terbuka.Kebaikan yang dibuat oleh Kerajaan BN pun akan dilihat buruk oleh golongan ini.

Dalam situasi ini golongan ini tidak seharusnya dibiarkan berseorangan dalam membuat keputusan. Apatah lagi keputusan tersebut adalah penting kepada masa depan dan untung nasib masyarakat sekeliling dan bukan hanya kepada golongan muda sahaja. Seharusnya golongan muda ini terus-terusan di dampingi, di beri penerangan, di berikan rasional dalam apa bentuk saluran pun agar mereka dapat berfikir. Golongan ini jelasnya harus dbantu bukan sekadar untuk membuat keputusan tetapi perlu dibantu untuk membuat keputusan yang betul.

Mungkin ini mendatangkan banyak beban kerja tetapi ianya sesuatu yang perlu dilakukan ………

Sunday, September 20, 2009

Salam Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir Batin. Semoga kehadiran Syawal yang mulia ini memberi seribu kerahmatan kepada kita dan terus menyemarakkan semangat perjuangan kita. Mari kita raikan kehadiran Syawal ini dengan penuh rasa kesyukuran di atas rezeki yang telah dilimpahkan pada kita. Salam Aidilfitri untuk semua. Dijemput semua sahabat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri saya pada 25.9.09 jam 8mlm - 12mlm di perkarangan Rumah saya 6077 Jalan SJ 5/8, Taman Seremban Jaya,Seremban,Negeri Sembilan.
Akhir kalam,Salam SriKandi...Salam 1 Malaysia dan Salam Aidilfitri buat semua....di mana sahaja anda berada..

Saturday, September 19, 2009

Indahnya Ramadhan (Part 2) dan Menjelangnya Aidilfitri

Ramadhan kali ini kian sampai ke penghujungnya. Mungkin anak-anak di perantauan sudah mula mengorak langkah pulang ke kampung halaman masing-masing. Niat di hati mereka adalah untuk bersama ibu dan bapa menyambut hari lebaran yang mendatang.

Aidilfitri sering disinonimkan dengan kegembiraan. Lumrah sambutan, badan dihias dengan persalinan baru, rumah dihias agar menarik kita menyambut tetamu.Rumah akan riuh dengan sorak pekik anak-anak kecil yang bersukaria bersama saudara handai dan taulan.

Namun Aidilfitri yang mendatang ini akan saya sambut dengan penuh keinsafan. Keinsafan tentang masih ada bangsa saya yang menderita kemiskinan . Bagaimanakah agaknya mereka sewaktu Aidilfitri yang kian tiba ini?

Semasa Program Indahnya Ramadhan (Jom Sahur) terdahulu ,saya berkesempatan singgah di rumah Kak Kamsiah di belakang Pejabat Pos Lenggeng, Lenggeng.Sebak saya memikirkan bagaimana Kak Kamsiah ini bakal menyambut Aidilfitri yang sepatutnya menjadi hari kegembiraan untuk seluruh umat Islam. Bolehkah terpancar kegembiraan diwajahnya apabila melihat cucunya seramai 9 orang tidak dapat beraya seperti kanak-kanak lain. Terpancarkah kegembiraan bila ada cucunya yang terpaksa tidur dalam Bangsal Ayam disebelah rumahnya kerana kesempitan ruang dirumah.Bolehkah hatinya ceria apabila ada anaknya yang telah setahun tidak mengirim berita.Tak banyak perkataan yang dapat keluar dari mulut saya kecuali hanya memegang tangan Kak Kamsiah agar beliau merasai masih ada insan yang bersimpati terhadap kedaifan hidupnya.

Saya dimaklumkan keperitan hidup yang dilaluinya telah lama. Hanya apabila ADUN bertukar barulah beliau mendapat sedikit pembelaan. Semasa bertemu dengannya ucapan terima kasih tak putus-putus keluar dari mulut beliau menghargai kedatangan saya dan sahabat-sahabat pada malam tersebut.


Apa yang saya alami malam itu cukup memahamkan saya apa yang cuba dikatakan oleh YAB PM tentang konsep 1 Malaysia RAKYAT DIDAHULUKAN,PRESTASI DIUTAMAKAN.
Walaupun Lenggeng lama di tangan BN tetapi jika tiada penghayatan konsep RAKYAT DIDAHULUKAN menyebabkan kes terlepas pandang seperti kes Kak Kamsiah ini berlaku.


Apa yang saya saksikan malam itu sudah tentu menguatkan iltizam saya agar nasib sebangsa saya terjaga dan terbela.Kata-kata YAB PM semasa merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda,Puteri dan Wanita UMNO 2008 akan saya jadikan panduan:-.

“…UMNO juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. UMNO akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli UMNO berhenti mempersoalkan apa yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara melalui UMNO. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh,imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin UMNO mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita “ seperti kaduk naik junjung” seraya lupa bahawa UMNO itu adalah parti akar umbi. Lupa akan hakikat UMNO itu,parti yang lahir daripada semangat membara rakyat kebanyakan . INSAFLAH, di jemala UMNO terjunjung amanah membela untung nasib rakyat……”


Akhir kalam ..Salam Srikandi,Salam 1 Malaysia,Salam Aidilfitri buat semua…dimana jua anda berada

Tuesday, September 15, 2009

Program Konvoi Jelajah NGO NS

Pada 13-9-2009, bermula dari Kompleks Belia Dan Sukan Kuala Pilah, suatu konvoi yang dianggotai oleh ahli-ahli dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Sembilan (GPMS NS), Majlis Belia Daerah Kuala Pilah (MBD KP) dan Ushanita Kuala Pilah akan menjelajahi ke setiap pelosok 36 DUN di Negeri Sembilan untuk menyampaikan bantuan kepada yang memerlukan.

Bagi saya yang dijemput untuk merasmikan Program Konvoi Jelajah NGO NS ,program ini adalah suatu usaha yang murni yang timbul dari inisiatif gabungan NGO yang turut serta dalam Program ini. Mengambil keberkatan Ramadhan Al Mubarak ini program ini dapat menginsafkan diri dengan melihatkan kepayahan dan keperitan masyarakat yang bakal ditemui di setiap DUN yang akan dikunjungi.

Program ini juga tidak mengira sama ada DUN tersebut diwakili oleh ADUN dari BN mahupun oleh DUN parti pembangkang. Niatnya adalah untuk menggapai (outreach) kepada masyarakat dan jangan dilihat bahawa Persatuan atau NGO ini hanya bergelumang sesama mereka sahaja tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.

Perkara ini amatlah sesuai dengan slogan 1 Malaysia yang mahukan rakyat serta kebajikan mereka diutamakan.

Akhir kalam Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia untuk semua........

Indahnya Ramadhan......(part 1)

Salam Srikandi dan Salam 1 Malaysia untuk semua..........

Kedatangan Ramadhan kali ini sungguh bermakna buat saya. Dalam kesibukan saya menjunjung beban amanah yang diberikan saya,sempat saya dikurniakan ruang dan masa untuk saya dapat berdamping dengan masyarakat dan menghulurkan sedikit bakti kepada mereka.Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang....

3 hari saya berada di alam wad kerana kesihatan sedikit terganggu akibat keletihan dan lelah.Menurut nasihat doktor saya perlu banyakkan rehat terutamanya di bulan Ramadhan ini. Namun dengan kehadiran sahabat-sahabat yang menziarah telah mencambahkan idea untuk bergerak mendampingi masyarakat terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini. Bagaikan suatu tenaga baru mengalir dalam tubuh yang kerdil ini agar terus gagah demi untuk menyaksikan agar idea murni ini dapat direalisasikan.

Dengan izin Allah yang melorongkan kesempatan dan mengurniakan upaya beserta sokongan dari sahabat-sahabat akhirnya lahirlah suatu program yang diberi nama INDAHNYA RAMADHAN yang telah berjaya menggabungkan tenaga dan sumbangan dari JASA, Jabatan Belia , Puteri,Pemuda dan Persatuan Belia khususnya di DUN Ampangan.





Program Indahnya Ramadhan membuka ruang untuk berdamping dengan mereka yang memerlukan.


Terasa insaf di hati ini melihatkan kehidupan mereka yang lebih sukar. Senyum di bibir yang menerima sumbangan cukup menghilangkan rasa letih dan capek pada diri ini. Kedatangan Ramadhan kali ini memang sungguh bermakna.Iltizam terbentuk dalam diri yang kerdil ini agar di tahun-tahun mendatang program sebegini dapat realisasikan lagi.Insya Allah...

Monday, September 14, 2009

Berkat bulan Ramadhan dan Pandemic H1N1

Setakat 12-9-09 Pandemic Influenza A (H1N1) telah meragut 74 nyawa. Seramai 983 pula sedang dirawat di 101 hospital seluruh negara. Dari jumlah itu, 215 telah disahkan positif H1N1.

Menurut Kementerian Kesihatan jumlah korban menjadi reda semasa bulan Ramadhan ini. Ya Allah kami bersyukur kepada Engkau dan dengan kedatangan bulan Ramadhan ini berikanlah keberkatan Mu dan jauhi kami dari bala penyakit.

Sebagai insan,kita wajib berikhtiar. Menurut Kementerian Kesihatan kemungkinan ada gelombang kedua pandemic ini dan gelombang ini turut akan melanda negara ini. Sebagai insan perlulah kita ingat dan memperingatkan satu sama lain sebagai salah satu ikhtiar kita menghadapi pandemic ini.

Salam Srikandi kepada semua...........







Puteri berganding dengan Pemuda & Belia mengedarkan topeng hidung dan mulut di Bazaar Ramadhan Ampangan